Nov
4th

Memey digugurkan - Tindakan penerbit drama Issandra elak tanggung risiko

Files under Artist | No Comments »

KUALA LUMPUR - Gara-gara insiden ditangkap atas tuduhan berkhalwat dengan Norman Hakim, nama pelakon Memey Suhaiza Suhaimi, 20, (gambar) digugurkan daripada pembikinan drama bersiri berjudul Issandra.

Watak yang sepatutnya disandang oleh Memey dalam drama bersiri 26 episod itu telah digantikan dengan pelakon Eira Syazira.

Pengarah Urusan Pro Pictures Sdn. Bhd., Aida Yusof berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga penerbit terhadap sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan peluang drama berkenaan untuk ditayangkan jika Memey didapati bersalah di mahkamah kelak.

“Sebagai penerbit kami tidak bersedia untuk menanggung sebarang risiko negatif yang mungkin boleh menyebabkan drama ini tidak dapat disiarkan menjelang slot tayangannya tahun depan.

“Setelah berfikir panjang lebar, nama Memey terpaksa kami gugurkan. Kami bimbang kes yang sedang dihadapi Memey akan memberikan implikasi negatif terhadap Issandra di kemudian hari,” katanya.

Menurut Aida, keputusan itu juga diambil setelah pihak produksi berbincang dengan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Walaupun tidak timbul sebarang masalah ketika ini, pihak RTM memberi gambaran jika Memey didapati bersalah menjelang perbicaraan Januari nanti, drama lakonannya tidak boleh disiarkan.

“Saya bagi pihak produksi meminta maaf kepada Memey kerana terpaksa menggugurkan dia daripada senarai pelakon kami,” katanya yang sudah pun membuat perbincangan awal dengan Memey mengenai drama berkenaan.

Popularity: 10% [?]

Nov
3rd

Abby amuk di lokasi

Files under Artist | No Comments »

Oleh Nor Akmar Samudin dan Rudy Imran Shamsudin
akmar@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Isteri Norman Hakim, Abby Abadi berang apabila suaminya dikatakan cuba mempertahankan kebaikan Suhaiza Suhaimi atau Memey, 20, hingga menimbulkan suasana tegang di lokasi penggambaran drama Gerak Khas berhampiran Carrefour Wangsa Maju di sini, tengah hari semalam.

Ketika sekumpulan wartawan menemubual Norman, 32, mengenai masalah rumah tangganya di situ, Abby tiba-tiba mencelah untuk mendapatkan kepastian daripada suaminya kenapa dia masih menyebelahi Memey.

Abby atau Arbaeyah Abdul Manan, 30, nekad bertanyakan soalan itu di depan wartawan kerana dakwanya sejak kes khalwat itu pada 30 Oktober lalu, Norman langsung tidak mahu berjumpa, malah panggilan telefon pun tidak dijawab.

Pelakon terkenal itu bergegas ke lokasi drama berunsur kepolisan berkenaan bersama sekumpulan wartawan media cetak dan elektronik selepas gagal membuat permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Hulu Klang, semalam.

Dia tidak dapat berbuat demikian kerana dinasihatkan pihak mahkamah supaya mengemukakan beberapa dokumen yang didakwanya berada dalam simpanan Norman termasuk surat rujuk perceraian mereka pada Mei 2006.

Norman atau Mohamed Nurhakim Zaidon, 32, yang berada dalam jip hitam untuk menjalani penggambaran kelihatan tergamam melihat kedatangan Abby dan wartawan.

Dia yang ketika itu menyarung pakaian seragam polis berpangkat Inspektor kemudian menukar baju dengan memakai kemeja-T berwarna merah samar.

Wartawan dapat menyaksikan Abby yang menanti di tepi jip terus menghulurkan borang perceraian yang dibawa dari mahkamah.

Walaupun Norman kelihatan agak kebingungan, dia sudah mengetahui hasrat Abby yang minta ‘dilepaskan’ dengan cara baik.

Ini kerana Abby ada mengirimkan SMS kepada Norman mengenai hal itu sebelum bertolak ke mahkamah.

Norman yang seakan terkedu dan sebak dilihat berjalan ke satu sudut jauh dari wartawan sambil membawa borang perceraian ditunjukkan Abby. Beberapa minit kemudian Abby menyusul suaminya.

Pada waktu itu, wartawan memberi ruang kepada mereka untuk berbincang dan hampir 45 minit kemudian Norman kembali menemui wartawan dengan wajah muram yang berselindung di sebalik kaca mata hitam sambil Abby mengikutnya dari belakang.

Dengan linangan air mata, Norman berkata, dia boleh memberikan kerjasama terhadap tuntutan Abby, tetapi dia memerlukan kehadiran orang ketiga iaitu Memey.

Dalam keadaan sekarang, katanya, dia perlu menjaga hati ramai pihak, termasuk orang tua Memey selain Abby masih isterinya.

“Memey itu naif kerana dia masih baru dalam bidang ini (seni)…jadi saya perlu bantu dia. Saya juga tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dia ada emak bapa,” katanya.

Kenyataan Norman itu benar-benar mencetuskan kemarahan Abby lalu berkata: “Habis, saya siapa nak bantu. Kenapa abang asyik mempertahankan Memey. Jika bercerita pasal Memey abang bukan main lagi beritahu orang yang Memey tidak pandai itu dan ini.

“Jika abang mahu menjaga hati orang tua Memey, habis saya ini tak ada emak bapa. Saya ini masih isteri abang.

“Apa lebihnya dia daripada saya. Buruk sangat ke saya ini. Ceraikan saya sekarang juga,” katanya terkilan dengan sikap Norman.

Mengelakkan keadaan lebih buruk, beberapa wartawan wanita yang menjadi saksi kejadian itu cuba mententeramkannya.

Apatah lagi, penggambaran drama itu dilakukan di tepi jalan raya yang menjadi perhatian orang lalu-lalang.

Norman yang dalam keadaan sugul memandang wajah isterinya. Kelihatan seperti dia mahu memperkatakan sesuatu kepada Abby tetapi terhenti begitu saja.

“Saya tidak akan keluarkan apa-apa kenyataan,” kata Norman.

Wartawan cuba meredakan keadaan dengan meminta Abby bertenang.

Akhirnya Abby beredar menuju ke keretanya yang terletak di seberang jalan.

Selepas hampir dua jam tergendala, penggambaran drama itu terpaksa dihentikan walaupun menurut pengarahnya, Majid Salleh, ia sepatutnya berlanjutan sehingga ke malam.

Penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam juga muncul di lokasi selepas dihubungi kru drama itu mengenai keadaan berkenaan.

Hasil perkongsian hidup mereka, Abby dan Norman dikurniakan tiga anak, Mohamed Danish Hakim, 5, Marissa Dania Hakim, 3 dan Maria Danisha Hakim, lebih sebulan.

Popularity: 11% [?]

Nov
2nd

Memey diminta tutup mulut

Files under Artist | No Comments »

KUALA LUMPUR: Norman Hakim berpesan kepada pelakon ditangkap khalwat dengannya, Suhaiza Suhaimi atau Memey jangan mengeluarkan sebarang kenyataan.

Norman yang ditemui di lokasi penggambaran Gerak Khas berhampiran Carrefour Wangsa Maju, semalam dia tidak mahu nanti kenyataan Memey bercanggah dengan kenyataannya.

“Dalam keadaan sekarang banyak hati yang perlu dijaga, termasuk ibu bapa Memey. Abby juga masih isteri saya,” katanya yang mengakui masih buntu dengan kejadian yang menimpanya baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, masih ada ruang untuknya mempertahankan diri membabitkan dua perkara.

“Pertama dia perlu berbincang dengan pihak berkenaan untuk menjelaskan kes itu dengan lebih telus dan kedua mengenai rumah tangganya. Dia sedih jika dia dan Abby terpaksa mencari jalan penyelesaian dengan perceraian.

“Saya cuba berbincang dengan Abby. Apabila dikenang kembali, takkan saya tidak serik dengan kejadian pertama yang menimpa rumah tangga kami dulu. Pihak ketiga hanyalah satu elemen penyebab masalah kami berdua.

“Sebagai lelaki saya perlu kuat dan saya masih ingatkan anak. Tetapi ada perkara yang kadangkala membuatkan ego saya tercabar. Tetapi saya tidak boleh ceritakan segala yang berlaku dalam rumah tangga kami.

“Saya masih boleh berfikir dengan akal yang waras. Saya berlakon dan menjalankan perniagaan pun bukan untuk saya seorang tetapi untuk keluarga dan anak saya. Saya masih ada ibu bapa dan banyak benda saya kena tanggung,” katanya kepada wartawan.

Apapun, katanya, dia reda dengan ketentuan Allah.

Setiap hari dia berdoa dan bersyukur kerana Allah memberikan kekuatan.

Sejak beberapa hari lalu katanya, dia membaca apa yang dilaporkan wartawan dalam akhbar dan dia faham tugas mereka (wartawan).

Katanya, dia berulang kali menjelaskan yang dia tiada hubungan dengan Memey.

“Tetapi mungkin kerana Memey selebriti…maka kami selalu menjadi perhatian. Dalam perkara itu, saya tidak pernah hendak menegakkan benang yang basah.

“Kalau boleh saya ingin selesaikan masalah itu seperti menarik rambut dalam tepung tetapi tepung tidak berselerak. Saya juga berharap jangan ada yang menuduh saya bersandiwara,” katanya.

Popularity: 9% [?]