Nov
7th

Saya pasrah andai berpisah - NORMAN

Files under Artist | No Comments »

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya pasrah apa yang berlaku sama ada bersama semula atau berpisah dengan Abby,” kata Norman Hakim atau Mohamed Nurhakim Zaidon, 32, yang ditemui selepas menunaikan solat Hajat dan Istikarah di Masjid Nur Hidayah Kampung Pandan di sini, malam tadi.

Katanya, lebih baik dia mengambil sikap bertenang sekarang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Ini kerana pelakon yang terkenal dengan watak pegawai polis dalam drama Gerak Khas itu tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan berikutan ada segelintir pihak cuba menangguk di air keruh.

Ditanya perasaannya terhadap isteri dan anak, kata Norman, dia masih menyayangi keluarganya dan berharap rumah tangganya dapat dipertahankan.

Malah, menurutnya, dia masih menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga termasuk tetap membayar bil elektrik dan air serta membiayai persekolahan anak.

“Masih ada kasih sayang saya pada anak dan isteri. Masa solat tadi terbayang anak sulung yang selalu azan. Saya pentingkan masa depan mereka tidak kira apa yang berlaku nanti…bersatu atau berpisah.

“Kebajikan mereka tidak akan terabai. Siapa yang tak sayangkan anak. Kali terakhir saya berjumpa dengan mereka ketika majlis cukur jambul anak bongsu saya selepas hari raya lalu,” katanya.

Dia juga tidak mahu mengulas panjang isu rumah tangganya bersama Abby kerana boleh menjadi ruang perbalahan dan tiada jalan penyelesaian.

“Saya nak cari jalan penyelesaian…saya perlukan ruang untuk cari petunjuk arah bagi selesaikannya.

“Berikan saya ruang…biarlah saya cari jalan penyelesaian terlebih dulu sebelum mengambil sebarang keputusan,” katanya.

Norman ternyata tidak mengetahui bila dapat menyelesaikan masalah terbabit dengan menyerahkannya kepada Allah s.w.t.

Bagaimanapun, baginya, apa yang penting kawan dan ahli keluarga tetap memberi sokongan.

“Saya tidak boleh salahkan sesiapa sama ada berkaitan kes khalwat atau masalah rumah tangga. Perkara sudah terjadi…saya perlu pertahankan diri saya.

“Apatah lagi isteri saya dalam keadaan emosi yang menebal, biarlah dia reda dulu…dalam keadaan pelbagai spekulasi dan andaian, saya nampak ia bukan platform untuk berbalas kenyataan kerana akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya memohon kepada Allah s.w.t supaya menyelamatkan rumah tangga kami…apa gerak hati yang terbaik itulah yang datang daripada Yang Maha Esa,” katanya yang lega dapat melakukan solat hajat dan Istikarah bagi memperoleh petunjuk untuk menyelesaikan masalah dihadapinya.

Norman berkata, dia memohon petunjuk kerana jika jalan terbaik ke arah penyelesaian itu ialah berpisah, dia bersedia menerimanya.

Dia seterusnya menafikan sudah mengahwini Suhaiza Suhaimi atau Memey, 20, yang menjadi punca keretakan rumah tangganya.

Perkara itu turut disahkan abangnya, Mohd Sophee Zaidon, 44, dan sepupu Norman, Razin Abdul Razak, 43, yang turut berada di masjid berkenaan.

“Saya belum mengahwini Memey, itu semua spekulasi dan saya tak pernah kahwin dan tak pernah hantar borang nikah. Segala-galanya tidak benar.

“Saya tidak mahu cakap apa-apa, nanti akan bangkitkan gelodak emosi daripada pihak Abby,” katanya yang terkejut dengan kehadiran media di masjid itu.

Norman yang memakai baju Melayu putih dan berkain pelekat kelihatan tenang ketika menjawab soalan diajukan wartawan.

“Saya tidak sangka media akan datang ke sini…nanti apa pula anggapan masyarakat terhadap saya, sampai sembahyang pun nak panggil media,” katanya.

Hasil perkongsian hidup mereka, Abby dan Norman dikurniakan tiga anak, Mohamed Danish Hakim, 5, Marissa Dania Hakim, 3 dan Maria Danisha Hakim, lebih sebulan.

Popularity: 2% [?]

Nov
6th

Cermin diri dulu kalau nak beristeri dua - Abby Abadi

Files under Artist | No Comments »

KUALA LUMPUR - “Pergilah cari cermin besar, cermin diri dan tengok siapa diri sendiri. Dia mampu ke kalau beristeri dua?”

Demikian sindir pelakon jelita, Abby Abadi atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan, 30, ketika ditanya mengenai hasrat suaminya, Norman Hakim yang tidak menolak untuk berpoligami.

“Suruh dia mengucap panjang dan ingat Tuhan,” nasihatnya dengan nada bersahaja.

Bagaimanapun menurut Abby, jika benar Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 32, mempunyai keinginan untuk berkahwin lain dalam masa terdekat ini, ia bukan satu masalah kepada dirinya.

“Dia boleh kahwin, saya tak kisah. Apa pun, dia perlu ‘lepaskan’ saya dahulu,” katanya lagi dengan tegas.

Semalam, akhbar menyiarkan kenyataan Norman yang memberitahu dia bersedia untuk berkahwin lagi jika itu ditakdirkan kepadanya.

Menurut Norman, dia tidak mampu menolak ketentuan dan bersedia bernikah dengan pelakon baru, Memey Suhaiza Suhaimi, 20, yang ditangkap atas dakwaan berkhalwat bersamanya baru-baru ini.

Mengenai kenyataan Norman semalam bahawa Abby dan Memey sama penting dalam hidupnya, Abby memberitahu, dia menyerahkan kepada masyarakat untuk menilai siapa sebenarnya yang menjadi punca keretakan rumah tangganya.

“Umum boleh fikirkan tentang sikap sebenar Norman kalau dia boleh bercakap sedemikian kerana bayangkan selama tujuh tahun saya berkorban segala-galanya untuk dia, namun dengan sekelip mata dia boleh buat pengakuan Memey dan saya sama penting dalam hidup dia,” katanya.

Popularity: 3% [?]

Nov
5th

Norman bersedia terima Memey sebagai isteri kedua

Files under Artist | No Comments »

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Aktor popular, Norman Hakim buat kali pertama mengakui, dia bersedia menerima pelakon muda, Memey Suhaiza sebagai isteri keduanya jika itu yang ditakdirkan oleh Allah.

Biarpun tidak mengesahkan yang dia mempunyai hubungan serius dengan aktres berusia 20 tahun itu, Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon, 32, berkata, sebagai umat Islam, dia akur dengan ketentuan qada dan qadar.

”Ketika ini, dalam hati, rasa kasih dan sayang pada isteri saya, Abby begitu menebal. Setiap hari, saya berdoa pada Allah biarlah maut yang memisahkan kami berdua. Saya tidak mahu berpisah dengan Abby melalui perceraian.

”Namun, pada masa yang sama, saya tidak mampu menolak ketentuan andai saya dan Memey bertemu jodoh satu hari nanti,” katanya ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia, SAHARUDIN MUSTHAFA di sini hari ini.

Norman berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kononnya dia dan Memey sudah merancang untuk berkahwin.

Bagaimanapun, rancangan tersebut dikatakan terpaksa ditunda berikutan dia dan Memey ditangkap berkhalwat di sebuah premis perniagaan di Ukay Perdana, Hulu Kelang, Selangor pada 30 Oktober lalu.

Sehubungan itu, pelakon utama drama bersiri Gerak Khas itu berkata, jauh di sudut hatinya, dia berkongsi rasa kasih dan sayang dengan banyak pihak.

”Ada ‘wilayah’ dalam hati yang saya bahagikan pada Allah, pada ibu dan ayah, pada isteri saya, anak-anak dan untuk orang lain juga.

”Bila saya fikirkan masalah yang sedang saya hadapi ketika ini, adalah lebih baik saya berterus-terang berhubung perasaan yang sedang saya alami ketika ini,” jelas Norman yang berkali-kali menyatakan harapannya agar Abby memahami kedudukannya ketika ini.

Menurut Norman, dia tidak mampu untuk menghalang Abby meluahkan emosinya seperti yang berlaku di lokasi penggambaran Gerak Khas semalam.

”Saya mahu mencari penyelesaian terbaik dalam hal rumah tangga saya dengan Abby. Saya cuba memahami keadaannya ketika ini.

”Saya juga menyedari yang Abby seorang ibu yang baik buat anak-anak kami. Saya sangat menyayangi dia.

”Tetapi, kalau sudah tertulis takdir lain, apa daya saya sebagai manusia untuk menolaknya,” ujar Norman lagi.

Ditanya kenapa dia beria-ia mempertahankan Memey dalam kenyataannya semalam, menurut Norman, Memey merupakan ‘penyelamat’ kepada keadaan yang dialaminya ketika ini.

”Abby hadir dalam hidup saya sebagai pembakar semangat. Memey pula hadir sebagai penyelamat dalam kehidupan saya.

”Saya perlu mempertahankan Memey kerana dia juga ada keluarga yang terpaksa melalui episod ini.

”Seperti yang saya kata, ada banyak hati yang perlu saya jaga. Jadi, saya harap Abby benar-benar memahami keadaan saya ketika ini. Saya tahu saya dan dia (Abby) masih ada masa depan demi anak-anak kami,” kata Norman yang berhasrat untuk merujuk kepada pihak yang arif yang boleh menyelesaikan masalah rumah tangga mereka.

Pada masa sama, Norman berkata, dia akan memohon petunjuk daripada Allah dengan solat sunat istikarah.

Popularity: 3% [?]